Master pieces

Jan 24, 2011

(1)

ARDANINUR ALISA MELANGKAH LAJU BAGAI TAK CUKUP TANAH. Hari ini dia sudah terlambat. ‘Mintak-mintak lah bos belum sampai lagi.’ Dalam hati dia berdoa.

“Lewat hari ni Lisa?” Kak Shima, kerani akaun merangkap PA bos menegur sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam pejabat.

Lisa hanya tersengih sebelum dia bersuara. “ Dari kampung kak. Biasalah. Rancang je nak gerak awal. Bila tiba masanya ada aje la halnya. Tu yang lewat sikit hari ni.” Lisa menerangkan.

“ Oh, tak apa lah. Nasib baik bos tak sampai lagi. Kalau tak mahu berasap telinga dengar dia berleter.” Kak Shima mengusik.

Lisa hanya tergelak sebelum meminta diri dari Kak Shima untuk masuk ke biliknya. Dia menguak daun pintu biliknya. Balqis sedang khusyuk menatap skrin komputernya. ‘Awal pulak minah ni datang hari ni.’ Getus hatinya.

“Hah, apa cerita kali ni?” Tiba-tiba Balqis bersuara.

Hampir saja Lisa mencampak begnya dek kerana terkejut mendengar suara Balqis tiba-tiba. “ Kus semangat kau Balqis. Nasib baik aku tak ada heart attack la. Kalau tak selamat dah aku ni. Kut ya pun ko nak tanya janganlah main sergah je cik kak oi.” Lisa mengurut-urut dadanya sebelum dia meletakkan beg-begnya.

Balqis tergelak besar. Tak sangka pulak Lisa akan terkejut dengan pertanyaannya tadi. “Sorry... Kau ni tengah berangan agaknya. Kalau tak takkan boleh terkejut pulak bila aku tanya.”

Lisa menjeling rakannya itu. “Mana tak nya aku terkejut. Aku masuk tadi bukan main khusyuk kau menghadap komputer tu. Ingatkan kau busy, so aku tak expect la kau akan bersuara tiba-tiba. Kau kan kalau dah menghadap kerja mana pandang kanan kiri.” Lisa sempat memerli rakannya itu.

Balqis tersengih. Dia bukan buat kerja pun tadi sebenarnya. “ Aku edit gambar lah. Bukan buat kerja. Rajin pulak kan aku ni.”

“Itu lah pasal. Aku pelik jugak tadi tengok kau dah sampai awal. Lepas tu berteleku depan komputer. Ingatkan kau dah berhijrah.” Lisa menghidupkan komputernya.

“Hah, apa cerita kau balik kali ni?” Balqis mengulangi semula soalannya tadi.

Lisa mengeluh. “Penat lah aku Qis. Kali ni mak aku offer anak Pak Leman. Kau ingat tak yang aku cerita orang kampung aku anak dia dapat kerja kat Dubai tu?” Lisa memandang Balqis. Balqis hanya mengangguk tanda dia mengingati.

“Hah, kali ni dengan dia pulak mak aku nak jodohkan. Hish, orang tu dah lah ada tiga tahun lagi kontrak kat sana. Tak pasal-pasal aku kena ikut pindah pulak nanti. Lagi pun aku memang tak berkenan dengan anak Pak Leman tu.” Lisa bercerita panjang.

“Kenapa? Dia tak handsome ke weh?” Balqis bertanya.

“Bukan pasal tu lah. Kau ni sikit-sikit handsome. Kau ingat aku ni memilih rupa ke?” Soalan dibalas dengan soalan.

“ Dah tu sebab apa? Kaya memang dah confirm. Apa lagi yang kau nak?” Balqis menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“ Entahlah. Dah hati aku hantar message kata tak berkenan, aku nak kata apa lagi kan. Aku tak rasa pun la nak kahwin ni. Rimas nanti dengan macam-macam commitment.” Lisa sudah memulakan kerjanya.

Balqis mencebik. Kawannya yang seorang ni payah betul kalau disuruh kahwin. Itu tak berkenan ini tak berkenan. Dia mengeluh. “ Waseem tu perlukan kasih sayang seorang ayah Lisa. Kau jangan nak pentingkan diri kau sendiri je.” Lisa sengaja menggunakan Waseem. Bukan tak pernah dia mengumpan rakannya itu dengan Waseem tapi setiap kali mesti gagal.

“ Dalam lima tahun ni dia ok je. Kau tu yang lebih-lebih lah nak suruh aku kahwin Qis. Dah lah. Aku nak siapkan payment ni. Karang bising pulak kontraktor dapat payment lambat.” Lisa memberikan hint bahawa dia sudah tidak mahu diganggu lagi dengan soalan-soalan Balqis yang menyesakkan fikirannya itu.

“Yalah. Aku tak kacau lah.” Balqis menjawab rendah. Dia tahu Lisa sengaja mengelak. Bukan dia tidak tahu semenjak kebelakangan ini Waseem Ahmad sering bertanya perihal ayahnya kepada Lisa. ‘Waseem Ahmad itu sudah besar lah Lisa! Sampai bila kau nak bohong dia!’ Balqis menjerit di dalam hati. Geram dengan sikap rakannya yang seorang itu.

“MAMA, KENAPA WASEEM TAK ADA AYAH?” Lisa yang sedang khusyuk menonton siaran di televisyen terkedu. Semenjak kebelakangan ini anaknya yang seorang itu kerap betul bertanya perihal ayahnya. Sudah penat juga dia mengelak untuk menjawab soalan tersebut tetapi anaknya itu tidak pernah jemu untuk bertanya. Dia mengeluh perlahan.

“Kenapa anak mama ni asyik tanya soalan tu je sekarang? Sebelum ni Waseem tak pernah tanya pun.” Lisa menyoal semula anaknya.

Waseem yang sudah menyiapkan kerja sekolahnya menghampiri mamanya. “ Waseem jealous lah mama tengok kawan-kawan Waseem. Diorang selalu cerita ayah diorang bawak pergi jalan-jalanlah, campinglah, main basikal lah. Waseem nak jugak macam tu ma.” Anak kecil itu bercerita manja.

Lisa mengusap-usap kepala anaknya itu. “ Setiap kali balik kampung kan Uncle Zharif bawak Waseem pergi main basikal kat taman. Bawak pergi jogging kat Tasik Y. Acu Lin pun selalu bawak Waseem pergi jalan-jalan kan. Tak cukup ke?” Lisa menyebut dua nama sepupunya yang suka memanjakan anaknya itu.

Ibu telah berpindah rumah bersebelahan dengan abangnya selepas kematian ayah. Tanpa pengetahuan ibu rupanya ayah telah membeli rumah bersebelahan dengan rumah Pak Long. Kami dapat tahu pun melalui peguam yang telah dilantik oleh ayah. Arwah ayahnya memang seorang yang perahsia tetapi penuh dengan kejutan. Itulah yang membahagiakan hati ibunya hingga ke hari ini walaupun mereka telah terpisah jauh.

“Mama....” Waseem memanggil mamanya manja.

“Ya, sayang.” Lisa memandang anaknya.

“Mama marah ke Waseem tanya macam tu tadi? Sorry, mama. Waseem nak tahu je. Kalau mama tak suka, Waseem janji tak akan tanya pada mama lagi soalan ni.” Waseem sudah mengangkat tangannya tanda berjanji.

Hati Lisa tersentuh. Anaknya itu memang amat memahami walaupun umur masih setahun jagung. Dia bersyukur kerana dikurniakan anak sebaik Waseem. Kalaulah Adam ada lagi, pasti dia bangga kerana punya anak seperti Waseem Ahmad ini.

“ Mama tak marahlah sayang. Kasihan anak mama ni. Hari-hari tanya pasal ayah tapi mama tak pernah jawab kan? Ayah Waseem dah tak ada lagi. Allah lebih sayangkan dia. Nanti hujung minggu mama bawak Waseem melawat ayah Waseem ya.” Lisa memberitahu lembut.

“Waseem sayang ayah jugak. Kenapa Allah tak bagi Waseem jumpa ayah Waseem?” Nampaknya anak kecil itu belum cukup mengerti.

“Sayang, semua yang hidup ni akan kembali kepada-Nya tau. Mama, nenek, Waseem, semua akan tinggalkan dunia ni juga bila tiba saatnya nanti. Sebab tu lah Waseem kena rajin solat, mengaji, puasa untuk dijadikan bekalan. Anak mama ni belum cukup faham lah. Nanti mama cerita lagi ya. Sekarang Waseem pergi tidur dulu. Dah lewat ni. Esok nak sekolah kan.” Lisa sudah menutup televisyen.

Waseem juga sudah mengangkat buku-bukunya untuk dibawa masuk ke dalam biliknya. Lisa menghantar anaknya itu masuk ke bilik dan menunggu sehingga anaknya itu tidur.

2 comments:

wawan said...

done~ jenuh ak cari number 0.. sbb tiba2 mcm dah msuk tengah2 crita.. XD

hikari said...

start ngan 1 la..tu slh 1 teknik penceritaan...ha3..anyway..thanks..=)